Monday, March 28, 2011

Antara Wang Dan Sahabat

      Suatu ketika, ketika aku dan kawan-kawanku pulang dari mandi-manda di Air Terjun Sagil, tayar keretaku pancit.  Waktu itu hari telah larut petang.  Tiada seorang pun antara kami yang tahu bagaimana hendak menukar tayar kereta.  Kami pun menahan kereta demi kereta yang lalu-lalang di situ namun tiada siapa yang sudi untuk menolong kami.  Tiba-tiba berhenti sebuah kereta yang berwarna putih.  Dari dalamnya keluar seorang lelaki Cina separuh umur.  Dia cuba menolong kami tetapi tayar keretaku tidak dapat dibuka.  Maka dia pun membawaku dengan seorang lagi rakan perempuanku ke bandar Melaka.  Sementara yang lain menunggu di kereta.

     Di Bandar Melaka, dia ke beberapa buah bengkel kereta namun tak seorang mekanik pun yang sudi untuk membantu kami.  Kebetulan hari itu Tahun Baru China.  Maka kami pun dibawa semula ke tempat kereta kami yang rosak tadi.  Setelah sampai, aku melihat sebuah van mayat Kristian.  Kulihat seorang lelaki Cina dan seorang lelaki India.  Rupa-rupanya, mereka telah membetulkan tayar keretaku yang rosak tanpa meminta sebarang bayaran.

     Kepada lelaki yang membawaku tadi, kutanyakan berapa harus kubayar kepadanya.  Namun kata-katanya yang tidak akan kulupakan sampai bila-bila ialah, "Money cannot buy friendship".  Selepas itu, kami mengikutinya ke rumahnya.  Sebelum pulang dari rumahnya, kami telah dihadiahi sebatang anak pokok mangga harum manis setiap seorang.

     Hingga kini, nama Mr. Teo Lau Gee sentiasa tersemat di hati .

Permainan Galah Panjang

Dulu aku panggil galah gempur.  Tapi kini dipanggil galah panjang.  Dah lama tak main permainan ini, tadi tengok budak-budak tu main seronok juga.  Tapi masa kami main permainan ini dulu lagi seronok. Gelanggangnya kami buat di atas tanah atau pasir.  Siapa yang disentuh , ditangkap atau dipeluk dikira mati.  Bermain pula bercampur dengan budak-budak lelaki.  Tapi  masa tu, langsung tak ada perasaan macam budak-budak sekarang.