CERPEN
CINTA SEJATI
OLEH : ZAITON MD. TAWIL
Hari itu, pagi-pagi lagi dia telah bangun. Setelah menunaikan solat subuh, dia turun ke
halaman. Kemudian terus ke belakang rumah. Di tangannya tergenggam sebilah pisau yang
telah lama namun masih tajam. Dia terus berjalan ke arah pokok-pokok pisang yang berdaun
lebat dan hijau. Ditetaknya sehelai daun pisang . Sesudah itu dibuangnya bahagian tengah daun
pisang tersebut.
Tidak jauh dari pokok -pokok pisang tersebut terdapat beberapa batas kangkung, bayam,
cili hidup dan cili padi. Di samping itu terdapat juga serumpun serai dan kunyit. Di tepi batas-
batas tersebut terdapat beberapa batang pokok tenggek burung ,mengkudu dan kantan. Dia terus
berjalan sambil memetik kangkung , bayam, cili hidup dan cili padi. Matanya meliar memerhati
pucuk tenggek burung dan mengkudu.
“Hmm, baik aku petik pucuk tenggek burung dan mengkudu ni. Boleh juga dibuat
ulam.” Bisik hati kecilnya.
Setelah puas dia berlegar-legar di dibelakang rumahnya. Dia menaiki anak tangga
rumahnya yang telah reput perlahan-lahan. Rumah yang telah usang dan reput di sana sini.
sambil membawa daun pisang , sayur kangkung, bayam, cili hidup , cili padi , serai , bunga
kantan, pucuk tenggek burung dan mengkudu yang diambilnya sebentar tadi. Dia menuju ke
dapur. Lantai dapurnya yang telah jongkang-jongkit itu dipijaknyadengan penuh hati-hati.
Dihidupkannya api dapur kayunya. Daun pisang yang diambil tadi dilayurnya. Sesudah itu, dia
Mengambil beberapa ulas bawang bawang merah, bawang putih, dan beberapa labu
bawang besar lalu menghirisnya. Bahan-bahan untuk menyediakan lauk-pauk pada hari itu
disiapkannya dengan segera.
Sesudah itu, dia menanak nasi dan menyiang ikan. Ikan puyu, keli dan haruan yang
dipancingnya di kali yang terletak tidak jauh dari rumahnya. Ikan-ikan itu mesti dimasaknya
dengan segera. Jika tidak tentu ikan-ikan tersebut akan busuk. Setelah segalanya selesai, ikan-
ikan itu digoreng dan sebahagian daripadanya dibuat gulai masak lemak cili padi yang dibubuh
daun kunyit , serai dan bunga kantan. Baunya harum menusuk hidung dan pasti akan membuka
selera sesiapa sahaja yang terhidu baunya. Dia juga tidak lupa membuat sambal belacan
daripada cili hidup yang dipetiknya sebentar tadi.
Setelah nasi yang ditanaknya masak, dia mengambil daun pisang untuk membungkusnya.
Dia membuatnya beberapa bungkus. Lauk- pauk tadi, dimasukkannya ke dalam mangkuk
tingkat. Mangkuk tingkat aluminium yang dibelikan oleh arwah suaminya suatu ketika dahulu.
Setelah segala-galanya selesai, dia memasukkan lauk-pauk tersebut ke dalam sebuah raga kecil.
Dia tersenyum puas. Senyuman yang paling manis dan ikhlas yang datang dari sanubarinya.
“Semoga mereka suka makan nasi dan lauk-pauk yang kusediakan ini. Walaupun tidak
begitu sempurna, namun aku puas hati apabila mereka makan dengan penuh selera nanti.”
Begitulah bisik hati kecilnya.
Setelah berpakaian kemas walaupun agak lusuh, dia menuju ke almari soleknya. Almari
tua yang telah terkopak di sana-sini. Kemudian dia berbedak pula. Bedak buku Cap Nyonya.
Bedak jenama itulah yang telah digunakannya sejak lama dahulu. Walaupun tidak mahal, namun
bedak itu sudah cukup untuk menampakkan seri wajahnya yang sudah dimamah usia. Setelah
bersolek , dia mengambil sehelai kain batik sarung berwarna merah berbunga-bunga halus yang
telah lusuh. Dililitnya kain batik tersebut di atas kepalanya bagaikan orang yang hendak ke
sawah.
Setelah segala-galanya selesai, diambilnya bakul berisi nasi dan lauk- pauk tadi. Dia
melangkah satu-satu menuruni anak-anak tangga rumahnya yang telah reput dan menuju ke
bawah rumah. Diambilnya sebuah basikal tua berwarna hitam. Basikal hitam yang telah pudar
warnanya. Disorongnya basikal itu dengan hati-hati. Raga buluh berisi bekalan yang
disiapkannya sebentar tadi diikatkan di tempat duduk belakang basikalnya agar tidak terjatuh.
Kemudian basikal itu ditunggangnya perlahan-lahan dan berhati-hati. Walaupun kudratnya
tidak sekuat sewaktu dia muda dahulu namun semangatnya untuk meneruskan hajatnya
membuatkan tuanya tidak begitu terasa .
Perjalanannya masih jauh. Sesekali basikal yang ditunggangnya ke tengah ke tepi
apabila dia terperanjat mendengar hon kereta atau motosikal yang berada di belakangnya atau
yang ingin memotongnya. Walaupun jantungnya berdebar-debar lantaran terperanjat, namun dia
tetap gigih menuju ke tempat yang menjadi nostalgianya sejak bertahun-tahun lamanya. Tak sabar
rasanya untuk dia ke tempat itu. Sebuah balai polis yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari
rumahnya. Tidak lama kemudian, dia dapat melihat sebuah bangunan berwarna biru tua. Itulah
bangunan balai polis yang akan dikunjunginya setiap hari kecuali ketika dia tidak begitu sihat.
“Hmm, sampai juga aku ke sini. Semoga mereka gembira menikmati bekalan yang
kubawa ini,” bisik hati kecilnya. Dia memberhentikan basikal tuanya di bawah sepohon pokok
ketapang yang terletak tidak jauh dari balai polis tersebut. Dia turun dari basikal tua itu sambil
membawa raga yang berisi bekalan yang dibawanya tadi lalu berjalan perlahan-lahan dan menuju
ke balai polis tersebut. Hatinya berdebar-debar . Matanya bercahaya. Senyumannya sampai ke
telinga.
“Assalamualaikum encik. Boleh saya masuk?” sapanya seperti biasa. Ramah dan mesra.
“Waalaikumussalam. Ya, makcik, ada apa-apa yang boleh saya bantu? Jawab seorang
konstabel muda yang baru pertama kali dilihatnya.
“Ini, ada makcik bawakan bekalan yang tak seberapa untuk encik dan kawan-
kawan. Cubalah rasa. Entahkan sedap entahkan tidak. Tapi makcik harap sangat agar encik dan
kawan-kawan suka,” katanya dengan wajah berseri-seri sambil menghulurkan raga bersi
bekalan tadi.
“Eh, makcik, kami tak boleh makan makanan ni. Manalah tahu, entah-entah makcik nak
racun kami. Sekarang ni, kita bukan boleh percaya kepada semua orang. Kadang-kadang,
nampak saja baik. Tapi, niat mereka kita tak tahu,” Makanan di dalam raga itu diambil dan
hendak dibuang ke dalam tong sampah oleh konstabel muda itu.
“Makcik tak pernah berniat begitu encik. Makcik ikhlas. Lagi pun, kalau tak sudi
menjamah juadah makcik tu , jangan pula dibuang. Itukan menolak rezeki namanya. Dah
bertahun-tahun makcik ke sini. Hanya balai polis ini sahajalah yang dapat mengingatkan makcik
kepada arwah suami makcik. Arwah suami makcik pernah bertugas di sini. Tapi….. ,”
bicaranya terhenti sejenak. Dadanya berombak-ombak menahan sebak. “ Dia meninggal dunia
ketika menghantar makanan kepada pegawai polis yang lain. Dia ditembak oleh komunis ,”
sambungnya lagi. Sampai di situ, dia tidak dapat meneruskan bicaranya lagi. Manik-manik
jernih berurai bagai mutiara putus kalungan di pipiknya yang telah mula dimamah usia.
Melihat suasana itu, Sargent Othman terus menuju ke arah rakannya . “Benar tu
Rosli. Makcik Saadiah ni, memang tetamu setia kita. Setiap hari dia akan datang ke sini .
Walaupun suaminya telah tiada namun kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap suami
hingga kini membuatkan dia tidak pernah jemu untuk ke sini. Dengan kudratnya yang tak
seberapa, dia tetap mengingati kita. Baginya, dengan menjamu kita dengan juadah yang dimasak
dengan air tangannya, seolah-olah dia menjamu suaminya. Biarkanlah dia berbakti sambil
menghimpun cinta sejati terhadap suaminya. Kalau saya berkuasa, dan pendapat saya diterima,
sudah lama saya cadangkan agar dia dianugerahkan dengan anugerah ‘Isteri Yang Paling Setia’
Konstabel Rosli mengangguk-angguk bagaikan burung belatuk. “Maafkan saya Sargent.
Saya tak tahu langsung tentang hal ini. Maklumlah, saya baru di sini. Tapi, kalaulah saya ada
isteri seperti ini, alangkah bahagianya saya. Kalau zaman sekarang ni, nak dapat isteri yang setia
macam ni, satu dalam seribu pun susah . Yang ada tu, kubur suami masih merah , dah
nak kahwin lagi. Hai, bertuahnya arwah suami Makcik Saadiah ni,” kata konstabel Rosli.
“Maafkan anggota saya Makcik Saadiah. Konstabel Rosli tak kenal makcik. Dia baru di
sini. Tapi, kalau dia dah makan masakan makcik nanti, barulah dia tahu betapa hebatnya
makcik. Makcik jangan risau ya, kami akan tetap berselera makan bekalan hasil dari air tangan
makcik ni,” kata Sargent Othman memujuknya dengan lembut sambil tersenyum.
Bekalan yang dibawa olehnya itu diambilnya lalu dibawa ke meja. Mereka memakannya dengan
penuh selera.
Dia merenung mereka yang sedang makan dengan penuh selera itu dengan perasaan
yang sungguh gembira. Wajah arwah suaminya yang kacak seolah -olah berada dengan mereka.
Makan bersama-sama mereka. Senyum terukir di bibirnya. “Abang, maafkan saya kerana tidak
dapat menghantar makanan kepada abang sebelum abang pergi dahulu. Maafkan saya bang.
Bukan niat saya untuk mengecewakan hati abang. Hanya Allah yang mengetahui betapa
terkilannya hati saya kerana tidak dapat menyediakan bekalan buat abang pada hari itu. Namun
apalah daya saya menolak takdir bang. Saya tidak akan melupakan abang buat selama-lamanya
bang.” Hatinya sedih tidak terkira. Dadanya terasa sebak bagaikan empangan yang akan pecah
pada bila-bila masa.
“Makcik, ini bekas bekalan makcik tadi. Saya dah basuh. Terima kasih ya. Enak
sungguh masakan makcik. Makcik jangan susah hati lagi ya. Saya percaya, arwah suami
makcik tetap akan berbangga mempunyai seorang isteri yang setia dan berbakti seperti makcik.
Sama-samalah kita doakan agar roh beliau ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang
beriman dan beramal soleh ya makcik.” Kata-kata Sargent Othman itu mengejutkannya dari
lamunannya.
“Sama-sama. Terima kasih juga makcik ucapkan kepada Sargent dan rakan-rakan kerana
doa itu. Jadilah pegawai polis yang setia dan berbakti kepada negara dan masyarakat dalam
menjaga keamanan. Tak adalah musuh yang akan berani menyerang negara kita nanti.
Sekurang-kurangnya, kita semua akan berasa lebih selamat. Seperkara lagi, izinkan makcik
bertandang ke sini setiap hari ya. Makcik hanya ingin mengenang kenangan manis makcik
ketika bersama suami saja. Tak lebih dari itu,” katanya meminta pengertian mereka.
“Tak apa makcik, datanglah pada bila-bila masa saja yang makcik suka. Kami tetap
menunggu makcik bagaimana arwah suami makcik menunggu makcik. Jangan bimbang ya,”
kata Sargent Othman dengan senyuman.
Setelah segala hajatnya menjamu mereka sampai, dia membawa raga buluh yang berisi
bekas bekalannya pulang sambil menunggang basikal tuanya perlahan-lahan. Perasaannya lebih
tenang. Setenang air di kali. Dalam hatinya berbisik, “Aku akan ke sini lagi. Ke sini lagi. Ke
sini lagi. Biarlah balai polis dan basikal tua ini menjadi saksi akan kesetiaanku terhadap suami
sehingga hayatku dijemput Ilahi.” Begitulah janjinya kepada dirinya yang akan mempertahankan
cinta sejatinya. Cinta yang sukar ditukar ganti . Cinta yang ikhlas lantaran Ilahi.